Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan polis selepas menampar dan menendang isterinya hanya kerana wanita itu meminta wang untuk membeli lampin bayi lelaki mereka berusia 10 bulan di kawasan Kompleks Sinsuran, di sini, 8 malam tadi.
Kejadian itu dirakam penghuni di sekitar Kompleks Sinsuran, di sini, sehingga ia menjadi ‘viral’ di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian, isteri suspek berusia 15 tahun dikatakan meminta wang daripada suaminya untuk membeli lampin bayi, semalam namun tidak diendahkan oleh suspek.
"Sebaik selesai mandi, suspek keluar rumah untuk menemui rakannya menyebabkan mangsa (isteri) tidak puas hati lalu bertindak mengejar sambil membawa sebilah pisau pemotong daging bertujuan mempertahankan diri kerana bimbang suspek akan memukulnya disebabkan panas baran.
"Mangsa melihat suaminya di dalam kereta lalu bertindak mengejar dan meminta suspek keluar untuk berbincang masalah rumah tangga mereka dan mahu ke jabatan agama namun suspek enggan," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.
Chandra berkata, isteri suspek kemudian menunjukan pisau kepadanya dengan harapan suaminya akan takut namun suspek keluar untuk merampas pisau berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
"Pisau berkenaan terjatuh lalu suspek bertindak menampar dan menendang isterinya sehingga jatuh sebelum beredar menaiki kereta itu.
"Mangsa seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing pada 11.48 pagi semalam sebelum suspek ditahan pada 8 malam hari yang sama," katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian itu mangsa dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, selepas luka di tapak tangan.
"Siasatan awal mendapati pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 bulan dan mereka sudah lama berdepan masalah rumah tangga kerana suaminya sentiasa mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga bapa.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.
Terdahulu, kejadian pergaduhan pasangan berkenaan dirakam penghuni di sekitar Kompleks Sinsuran, di sini, sehingga ia menjadi viral di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Sumber: Hmetro
0 comments:
Post a Comment